15 March, 2008

Apa Nak Jadi?

Apa nak jadi?Apa perasaan kita?
Dan bagaimana sikap kita?
Apabila terjadi di rumah kita
Tiang-tiang rumah sudah dimakan bubuk,
lantai telah reput,atap berlubang-lubang
Ditambah pula dinding,alang-alang dan kasau
telah rapuh
Lantai dipijak sini,terjungkit di sana
Pijak di sana terjungkit di sini
Disisip atap,berguguran pula yang di tempat lain
Ditupang tiang, retak pula alang-alang
Disulam lantai, bertaburan benda-benda yang lain
Begitulah seterusnya
Dibaiki di satu aspek, merosakkan aspek yang lain
Makin dibetulkan rumah,
makin bertambah masalah
Masalah yang ada tidak selesai,
timbul masalah yang lain
Begitulah negara kita hari ini

Apa nak jadi?
Bagaimana perasaan kita?
Apabila berlaku masalah, bila hendak dibaiki,
lahir masalah lain
Lahir suatu yang negatif
Setelah ditangani yang ada tidak selesai,
timbul negatif yang lain
Satu gejala masyarakat difikirkan,
timbul gejala yang lain
Gejala demi gejala timbul
tidak perlu gejala ini disebut,
semua orang tahu
Mengenai ekonomi,politik,masyarakat,
pendidikan,kesihatan
Ibarat mengubat pesakit
Makin banyak makan ubat,
semakin banyak penyakit yang lahir
Bermacam-macam kaedah yang diberi,
makin menyusahkan pesakit
Penyakit pesakit makin kronik
Doktor pula pusing kepala,
buntu fikiran, habis ikhtiar
Begitu kita rakyat Malaysia
Berada dalam ketakutan,kebimbangan,
resah gelisah,susah
Setiap hari timbul gejala yang menakutkan
Makin banyak memikirkannya,
makin menjadi-jadi gejala timbul
Apa nak jadi?Bagaimana kita sekarang?
Apalagi sikap kita?

Wahai Tuhan!
Selamatkanlah kami dan keluarga kami daripada fitnah akhir zaman ini!
Aaammiin.

02 March, 2008

Siapa Aku Di Depan Tuhanku


SUBUHNYA
di mana aku berada masih enak dalam kelambu rindu
sambil berfoya-foya dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin di hujung waktu
siapa aku di depan Tuhanku
ZUHURNYA
aku lebih memikirkan kelaparan
kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku gembira membilangkan keuntungan
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku menggadaikan sebuah ketaatan
siapa aku di depan Tuhanku
ASARNYA
aku lupa warna masa cepat
berubah bagaikan ditolak-tolak
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak di hujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang derhaka
siapa aku di depan Tuhanku
MAGHRIBNYA
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berlegar di sebalik tabirnya
mencari sisa-sisa keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalan yang bertongkat-tongkat
ruginya bertingkat-tingkat
siapa aku di depan Tuhanku
ISYAKNYA
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan menggangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut biru
bercumbu-cumbu dengan waktuku
siapa aku di depan Tuhanku
Kini aku menjadi tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan Masjid menjadi sepi
kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah akan dibawa sembahyang di sini
jika ruangku dibiarkan kosong
jika wajahku menjadi asing
pada mentari dan juga bintang-bintang.
 

(c)2009 miera'lya. T e m a f r e e dandikauasakanoleh B l o g g e r